Peringkat kawalan semburan racun rumpai Racun_rumpai

Racun boleh digunakan kepada tanah pada berbagai-bagai peringkat kawalan seperti prasemai, pratanam, pramuncul dan pascamuncul. Di samping itu racun juga boleh disembur kepada dedaun selepas rumpai muncul ke atas permukaan tanah.

Prasemai dan Pratanam

Racun boleh disembur sebelum benih disemai atau ditanam. Racun yang digunakan pada peringkat ini disebut racun prasemai atau pratanam. Selalunya racun jenis ini digunakan untuk membasmi rumpai sebelum kerja-kerja penyemaian dimulakan. Racun rumpai prasemai atau pratanam boleh digunakan kepada tanah di mana racun ini akan diserap oleh akar atau biji benih rumpai. Sekiranya racun digunakan dengan cara begini maka perlu dipastikan supaya sisa-bakinya itu tidak kekal dalam tanah yang akan mempengaruhi tanaman berikutnya. Contoh racun rumpai untuk peringkat prasemai atau pratanam ialah EPTC dan trifluralin. Bagi mengawal rumpai jenis saka, dos racun perlu tinggi dan jarak masa antara semburan dengan penyemaian perlu lebih panjang. Bagaimanapun bagi mengawal rumpai jenis tahunan, hanya memerlukan masa yang singkat dan dos yang rendah sahaja.

Racun rumpai jenis ini boleh juga digunakan kepada anak benih rumpai yang telah muncul ke permukaan. Penyemburan dilakukan kepada daun supaya racun ini bertindak secara sentuhan atau sistemik. Racun yang bertindak melalui sentuhan selalunya tidak mempunyai kesan sisa-baki, oleh itu ia tidak boleh mengawal rumpai yang bercambah selepas semburan. Racun bersifat sistemik ini sesuai untuk mengawal rumpai berdaun lebar dalam tanaman bijirin. Bagaimanapun sisa-baki racun mestilah tidak akan mempengaruhi tanaman berikutnya. Contoh racun sistemik yang boleh digunakan bagi peringkat ini ialah 2,3-D dan MCPA.

Pramuncul

Semburan pramuncul dilakukan sebelum anak benih tanaman muncul ke permukaan tanah. Pada masa ini, benih rumpai mungkin belum lagi muncul atau mungkin ada juga telah muncul ke atas permukaan tanah. Bagi mengelakkan kekeliruan maka maksud pratimbul mestilah dinyatakan dengan sama ada dirujukkan kepada tanaman atau rumpai. Racun-racun pramuncul boleh bertindak melalui sentuhan, sistemik atau sisa-baki.

Bagi racun yang bertindak secara sentuhan pada daun, selalunya mempunyai kesan sisa-baki yang sangat rendah. Untuk mendapatkan kesan kawalan yang memuaskan maka sebahagian besar anak benih rumpai mestilah telah muncul ke permukaan dan racun tersebut mudah bersentuhan dengan daun rumpai. Sebatian racun juga mestilah tidak berada dalam bentuk toksik semasa dalam tanah dan biji benih tanaman pula terdiri daripada jenis lambat bercambah. Parakuat merupakan contoh racun sentuhan yang boleh digunakan pada peringkat pramuncul.

Hanya terdapat beberapa contoh racun rumpai sistemik sahaja yang digunakan kepada daun rumpai sebelum kemunculan tanam-tanaman. Ini adalah kerana kebanyakan racun rumpai mempunyai aktiviti sisa-baki dalam tanah yang boleh menyebabkan kecederaan kepada benih tanaman. Contoh racun rumpai sistemik untuk mengawal rumpai jenis rumput peringkat pramuncul ialah dalapon. Racun yang bertindak melalui kesan sisa-baki boleh digunakan selepas semai dan sebelum anak benih muncul ke permukaan. Ia mestilah kekal dalam tanah dan akan mematikan anak benih rumpai yang baru bercambah. Racun ini mempunyai kelarutan yang rendah dalam air dan akan kekal di bahagian atas permukaan tanah. Biasanya racun ini digaul dengan tanah, iaitu beberapa sentimeter daripada permukaan kerana di kawasan ini terdapat banyak biji rumpai, sementara biji-biji benih tanaman terdapat di lapisan yang lebih dalam serta mempunyai sifat resistan kepada racun itu. Keberkesanan racun yang bertindak melalui sisa-baki bergantung kepada iklim dan jenis tanah. Atrazin merupakan contoh racun yang bertindak melalui sisa-baki yang digunakan dengan meluas dalam tanaman jagung kerana tanaman ini resistan terhadap sebatian tersebut.

Pascamuncul

kaedah ini dilakukan selepas tanaman muncul ke permukaan tanah. Dalam keadaan ini rumpai mungkin belum lagi muncul atau mungkin juga telah muncul ke permukaan tanah. Sekiranya rumpai yang hendak dikawal belum muncul ke permukaan semburan dibuat secara menyeluruh atau antara barisan tanaman. Tujuannya ialah supaya racun tersebut tiba ke tanah dan akan bertindak melalui sisa-baki. Selalunya racun ini tidak memberi kesan kepada rumpai yang telah melewati satu peringkat pertumbesaran. Oleh itu rumpai yang telah muncul perlu dikawal terlebih dahulu dengan racun sentuhan.

Sekiranya anak benih rumpai telah muncul ke permukaan, racun boleh disembur secara menyeluruh kepada rumpai dan boleh mengenai tanaman. Bagaimanapun racun ini perlu mempunyai sifat selektif supaya tanaman tidak tercedera apabila terkena semburan. Contoh racun yang boleh digunakan dengan cara ini ialah ioksinil yang digunakan untuk mengawal rumpai bagi tanaman bijirin. Terdapat beberapa faktor yang menentukan kejayaan kawalan ini misalnya isipadu semburan, saiz butir semburan, keseragaman semburan, peringkat tumbersaran rumpai dan tanaman serta juga cuaca. Jika tanaman itu berbaris maka semburan dihalakan kepada rumpai sahaja tanpa mengenai tanaman. Semburan begini adalah lebih baik kerana sifat selektif daripada racun itu tidak lagi penting.

Perbezaan juga wujud dari segi cara mengangkut racun antara rumpai dengan tanaman. Kesan toksik mengambil masa yang lama sebelum dapat dilihat dan ia lebih jelas pada tumbuhan rentan tetapi tidak pada tanaman yang resistan. Pada dos sub-maut (sub-lethal), racun sistemik ini akan menekan pertumbuhan rumpai untuk suatu jangka masa yang panjang dan akan mengurangkan daya saingannya. Salah satu cara bagaimana racun ini mengurangi saingan rumpai ialah dengan mengurangi biji benih rumpai. Kesan racun rumpai sistemik ini kurang dipengaruhi oleh isipadu semburan, saiz butir dan keseragaman semburan. Contoh racun sistemik peringkat pascamuncul ialah MCPA; racun ini digunakan untuk mengawal rumpai jenis tahunan dan saka dalam tanaman bijirin.